Saturday, May 10, 2008

Ulasan Buku : Blog, Blogger, Blogging Untuk Semua

Judul : Blog, Blogger, Blogging Untuk Semua
Pengarang : Rosli Jamal
Penerbit : Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. K.Lumpur
Web Site : www.ameenbooks.com.my
Genre : Blog/Web Site Development
Tahun : 2007
Harga : RM24.00 (Sem. Malaysia) RM27.00 (Sabah/Sarawak)
Tebal : 208 halaman



BUKU ini saya beli sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang berlangsung pada 4-13 April 2008. Walaupun sudah setahun lebih (Februari 2007) buku ini di pasaran namun isinya pasti memukau peminat blog dan blogger.

Persembahan buku ini berbeza dengan kebanyakan buku berbicara tentang dunia Internet.Grafik berbentuk kartun menarik dan kadang-kadang mencuit hati dengan telatah ayam (blog). Tetapi apabila menerangkan tentang membina blog dengan blogger.com grafik tentangnya tiada. Hanya penerangan berbentuk teks belum cukup pembaca memahaminya terutama pembaca baru berjinak dengan blog.

Apapun buku ini amat sesuai sebagai motivasi yang tinggi kepada penulis blog. Kandungannya agak menyeluruh tentang dunia blog. Ia dimulai dengan pengenalan blog, blogger dan blogging.

“Blog ialah sebutan ringkas bagi Weblog. Blog ialah sebuah laman web, tetapi dibina menggunakan perisian yang telah diformat bagi membolehkan sesiapa sahaja membinanya walaupun tidak memiliki pengetahuan teknikal yang mendalam.”

“Blogger ialah pengendali sesebuah blog. Setiap blog membawa personaliti pengendali blog itu sendiri. Ini jelas dilihat pada tajuk, keterangan yang diberikan dan kandungan blog yang dihasilkan.”

“Istilah Blogging bermaksud apa sahaja aktiviti yang dilakukan oleh pengendali blog atau blogger ke atas blog di dalam alam blog atau sfera blog (blogsphere). Aktiviti yang dimaksudkan termasuklah membina, menulis, membuat pautan dan mempromosikan blog.”

Dalam mempromosikan blog, penulis mencadangkan menggunakan enjin carian dan direktori blog; komuniti bertukar-tukar pelawat; menggunakan RSS (Really Simple Syndication); bertukar-tukar pautan; mempromosi secara offline; dan strategi promosi online.

Penulis menerangkan juga cara menjadikan blog sebagai mesin wang cetak. Ini bermakna blogger dapat memperolehi wang melalui hasil penulisan blog mereka. Diterangkan bagaimana blog yang menghasilkan pulangan; cara menyertai program-program pengiklanan; cara menyertai program affiliate; strategi menghasilkan pulangan; dan petua membina kandungan blog yang menghasilkan pulangan.

Di samping itu, beberapa petua dan panduan diturunkan seperti petua menarik pelawat membaca blog anda. Petua menambah interaktiviti blog, cara buat diut lebih dan cara mengurus wang di akuan PayPal. Semua petua dan panduan begini amat berguna dalam selok belok dunia blog dan blogger.

Senarai 97 alamat blog dan laman web dalam buku ini menguatkan lagi pembaca untuk meneruskan usaha mereka bukan hanya setakat membaca sahaja. Bagai dikata semua peralatan telah disedia oleh buku ini, cuma pembaca sendiri yang bakal menentukan usaha dan kejayaan mereka sendiri. Selamat membaca dan berusaha!

No comments: